Semakin hari semakin dekat saatnya tiba. Satu bahagian dalam diri ini seronok dengan apa yang bakal tiba. Satu bahagian lagi takut dengan pengalaman baru. Satu bahagian lagi seperti tunggu dan lihat dengan apa yang bakal berlaku.
Itulah dia.
Kalau ada orang tanya "Dah ready ke kahwin?" aku rasa susah nak jawab soalan ni. Sebab kalau nak tunggu 100% sedia, fizikal dan mental, sosial dan ekonomi, tanggungjawab dan amanah, memang sampai bila-bila pon tak akan bersedia. Secara peribadi, aku rasakan kita tidak akan bersedia melainkan apabila kita dilengkapkan dengan pasangan kita seperti tubuh dengan kulit, fesyen dengan pakaian dan notebook dengan monitor.
Saling melengkapi.
Sebab itu aku berani ambil keputusan begini. Walaupon poket hanya ada bulu ketiak rama-rama ketika menghantar rombongan, walaupun hanya ada Kelisha berhabuk bertayar botak, walaupun serba-serbi yang aku ada hanyalah cukup-cukup, tapi aku "selamba go!". Aku yakin dengan apa yang aku buat berdasarkan pelbagai perkara yang berlaku kepada aku sejak aku dan Ratnadewi mula bercinta.
Ada bisik-bisik melabelkan aku dengan pelbagai nama. Mungkin betul, mungkin salah. Aku bergantung kepada "signal" di sekeliling aku untuk aku tahu sama ada apa yang aku buat itu betul atau tidak. Aku tidak ada mukjizat untuk bercakap secara langsung di bukit Tursina malahan terlalu hina untuk berada di dalam bilik seorang diri apabila wahyu turun. Satu-satunya kelebihan aku berbanding manusia lain di sekeliling aku adalah aku mampu mengeluarkan pusat aku (uwek! geli aa oi!). Yang lain aku tak mampu. Yang lain aku tak ada kecuali...
Bulu ketiak rama-rama di dalam poket,
Kelisha berhabuk dan bertayar botak.
(Ok 2 benda di atas ini sudah terlalu klasik dan tidak mampu membayar hutang PTPTN aku)
Tapi, alhamdulillah. Persediaan untuk kahwin membuatkan aku lebih dekat kepada Allah kerana pada ketika itulah dengan jelas aku dapat saksikan kekuasaan Yang Maha Penyayang lagi Maha Pemurah. Ya, jangan salah faham ayat ini dengan mengatakan aku nampak objek-objek ganjil di langit. Aku dah jarang melihat langit pada waktu malam sekarang ni sebab setiap malam ada saja kerja freelance yang perlu aku habiskan :P
Rezeki datang dari pelbagai arah yang tak disangka sepanjang persediaan untuk kahwin ni. Aku melihat situasi yang hampir sama juga berlaku ketika aku dan kawan-kawan Kapasitor sangkut dan buntu ketika persiapan untuk ke Venice. Tiba-tiba bantuan tu tiba dengan sangat-sangat tak terduga. Itu tidak dikira ketika aku mengimbau semula ke zaman aku belajar dulu ketika aku sudah hampir putus asa menyiapkan Projek Akhir Tahun yang mana aku melihat diri aku sendiri menyelesaikan masalah dalam mimpi.
Itu baru 3 peristiwa, belum lagi peristiwa-peristiwa lain yang aku tidak ingat, tidak tahu atau tidak perasan. Jadi, kepada rakan-rakan lelaki yang membaca catatan ini (aku tau ko baca blog niajohari ni tapi engkau sorok2), maka aku mahu kongsi dengan korang sedikit tips yang insya Allah boleh membantu:
1. Set tarikh.
Jangan berdolak dalih. Allah faham situasi hidup umat Islam di kala ini. Perkahwinan memang memerlukan duit yang banyak. Yang Allah mahu lihat adalah kesungguhan dan ke-serius-an kita dalam perkahwinan. Oleh itu, set satu tarikh yang logik, tepat dan berusahalah mengumpulkan duit atau apa saja yang korang perlukan menjelang perkahwinan korang. Jangan set tarikh seperti "tahun depan la aku kawin" atau "aku kawin hujung tahun ni" atau "dalam masa 6 bulan lagi aku kawin". Tak boleh sebab tarikh itu adalah tarikh yg kabur. Kena ada tarikh seperti "aku kahwin 14 Februari tahun depan" atau "2 minggu lepas raya tahun depan aku kawin".
2. Beli barang sikit-sikit
Lagi 3 bulan nak kahwin baru nak beli barang hantaran? Kalo ko anak Dato' atau Tan Sri atau mak bapak ko kaya atau ko gaji besar maka tak apa. Kalo ko setakat macam aku, gaji cukup-cukup makan.. kalo hantar kereta pergi servis bulan ni maka terpaksa ikat perut sbb tak boleh bear kos servis kereta.. maka ko jangan la shopping last-last minute. Start beli barang seawal 9-10 bulan sebelum kahwin. Sebab, lagi 2-3 bulan nak kawin ada banyak bende lagi nak kena bayar. so, start la berjimat yer.
3. Focus
Dah tau nak kawin tahun depan, simpan la duit. Jangan la habiskan duit meraban beli barang ntah apa-apa. Focus la. Lepas kahwin nanti ko beli la Wii ko tu. Dah selesai majlis kahwin ko nanti baru la ko beli kereta baru. Nikon keluar model kamera baru? Ya, beli la lepas kahwin nanti. Ni tidak, duit hantaran tak selesai, barang hantaran tak beli lagi, kursus kahwin pon tak selesai lagi bole pulak ko pegi bayar downpayment kereta baru.
4. Bertanya jika tak tahu.
Kalo ko dah pernah ada pengalaman sebelum ni tak pe lah. Ni tidak, dah tahu bahalul tak tau apa-apa pasal kahwin.. ngape tak mau bertanya. kalo malu nak tanya pada mak bapak, tanya la pada pak cik makcik. kalo segan jugak, kawan-kawan yang dah kahwin kan ramai. Kalo tak tau sirih junjung tu untuk apa, kalo tak tau serba satu atau serba berdiri tu apa.. tanya lah diorang. jangan buat self assumption.
5. Jangan Berhutang.
Perbanyakkan doa kepada Allah supaya Dia tolong kita dalam persediaan kita ni. Buat rough budget untuk majlis kedua-dua belah pihak. Kalo duit dlm poket tak cukup, bekerjalah korek untuk cari duit. Kalo perlu buat 3-4 freelance dalam sekali gus, maka buatlah dengan niat untuk memudahkan urusan kahwin dan beli peti sejuk, washing machine, tv dan set sofa baru untuk ko dan isteri ko lepas kahwin nanti. Tapi, kalo tak mampu.. focuslah pada apa yang terbaik untuk diri korang, bakal isteri dan kehidupan selepas kahwin.
Itulah apa yang aku buat menjelang perkahwinan aku. Kalo ada yang tak betul maka aku mohon maaf. Aku cuma menyampaikan aje. Nasihat aku adalah tolonglah orang-orang di sekeliling kita mulai dari sekarang. Insya Allah, bila sampai masanya nanti Allah akan tolong kita dari jalan yang kita tak pernah sangka. Kalo lelaki yang berambut megi macam aku boleh, kenapa ko yang bergaji besar tak boleh?
Hiks :P
(Sebenarnya aku agak jeles tengok asyik Nia aje yang update blog ni. Maka, aku curi-curi masa sket dan curi-curi tulis juga)